Aksyah Haji Nasrah
KOTA KINABALU: Sabah tidak boleh lagi terperdaya dengan slogan retorik atau janji palsu pihak tertentu menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), tegas Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah.
Beliau berkata, kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah membuktikan bahawa Sabah boleh dipacu ke hadapan melalui keikhlasan, kestabilan dan tindakan berasaskan realiti, bukan sekadar janji atau retorik politik.
“Ketika PRN16 lalu, Hajiji tidak menjanjikan apa-apa yang menggunung. Tiada slogan kosong, tiada janji manis. Sebaliknya beliau bersama GRS memilih untuk ‘reset’ dan mengembalikan Sabah ke landasan yang benar.
“Dan hasilnya jelas – ekonomi kembali pulih, pungutan hasil meningkat saban tahun, pembangunan berjalan lancar. Ini bukan janji, tetapi realiti yang rakyat sendiri nikmati,” katanya ketika mengulas pencapaian Kerajaan GRS selama lima tahun mentadbir negeri.
Menurut Aksyah, rakyat Sabah mesti menolak pihak luar yang cuba menunggang sistem politik negeri dengan menjual naratif baharu yang kedengaran manis di telinga tetapi kosong daripada segi pelaksanaan.
“Sabah tidak perlukan ‘Tawaran Baharu’, tidak perlukan slogan ‘Selamatkan Sabah’ atau ‘Kasi Bagus Sabah’. Negeri ini sudah pun jauh lebih bagus daripada sebelumnya.
“Jangan biarkan pihak luar atau kelompok yang tidak mengutamakan pribumi Sabahan merosakkan kestabilan yang kita capai. Politik berasaskan suku, kedaerahan dan kepentingan luar mesti ditolak habis-habisan,” tegasnya.
Aksyah menambah, PRN17 bukan sekadar pilihan raya, tetapi penentu kepada hala tuju negeri agar Sabah kekal dipimpin oleh parti tempatan yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat.
“Ini tanda aras kebijaksanaan rakyat Sabah. Rumah kita, kitalah yang jaga. Masa depan Sabah tidak boleh diletakkan di tangan orang luar yang hanya pandai menabur janji,” ujarnya.
Beliau berkata, dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang sedang dilaksanakan kini merupakan pelan menyeluruh bagi memastikan kemakmuran, kestabilan dan kesejahteraan rakyat terus diperkukuh.
“Hanya dengan mandat jelas rakyat pada PRN17, kerajaan pimpinan Hajiji mampu meneruskan agenda ini secara konsisten tanpa gangguan politik luar,” katanya.
“Rakyat Sabah harus bergerak ke hadapan, bukan berpatah balik kepada politik ilusi. Masa depan negeri ini mesti dipertahankan dengan kepimpinan tempatan yang ikhlas dan terbukti berkesan,” tegas Aksyah.
































