Hajiji menyaksikan penyerahan Sumbangan Bantuan Bencana daripada PETRONAS yang disampaikan oleh Siti Ayu kepada Safar.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menzahirkan penghargaan kepada syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil membantu mangsa bencana di Sabah, khususnya PETRONAS dan Yayasan PETRONAS yang setakat ini telah menyalurkan bantuan bernilai RM980,000 pada tahun ini.
Beliau berkata, sumbangan itu bukan sahaja meringankan beban mangsa banjir, malah mencerminkan keprihatinan sektor swasta dalam berkongsi tanggungjawab bersama Kerajaan Negeri menjaga kebajikan rakyat.
“Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan PETRONAS dan Yayasan PETRONAS. Usaha ini memperlihatkan komitmen tinggi syarikat tenaga negara dalam memastikan kesejahteraan rakyat Sabah terus terbela, khususnya ketika menghadapi bencana banjir,” katanya ketika menyaksikan penyerahan Sumbangan Bantuan Bencana daripada PETRONAS di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Sumbangan itu yang termasuk bekalan asas dan pelbagai keperluan disampaikan oleh Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
Sumbangan terbaharu tersebut adalah sebahagian daripada persediaan menghadapi musim tengkujuh yang bakal tiba.
Siti Ayu berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan PETRONAS dalam menyokong kesiapsiagaan serta bantuan bencana di Sabah.
“Melalui kerjasama erat dengan agensi negeri dan persekutuan, kami mahu memastikan bantuan dapat disalurkan tepat pada masanya apabila diperlukan. Inisiatif ini juga dirancang secara proaktif setiap tahun bagi menyokong usaha kesiapsiagaan menghadapi musim banjir,” katanya.
Selain bekalan asas, PETRONAS turut menyumbang pelbagai peralatan termasuk tilam lipat, kanopi, kipas, bekalan air minuman, serta paket makanan untuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Turut diserahkan ialah kad sumbangan bernilai RM10,000 bagi pembelian bahan api untuk kegunaan operasi bantuan.
Beliau menambah, setakat tahun ini PETRONAS dan Yayasan PETRONAS telah menyalurkan sebanyak RM980,000 bagi menyokong kesiapsiagaan serta bantuan pasca bencana di Sabah, termasuk sumbangan yang telah diberikan awal tahun.
Hajiji dalam pada itu menegaskan bahawa sokongan sektor swasta dan NGO amat penting dalam melengkapi usaha kerajaan, sekali gus mempercepatkan proses pemulihan mangsa bencana.
“Kerajaan Negeri berharap lebih banyak syarikat korporat tampil membantu. Dengan adanya sokongan padu seperti ini, kita dapat memastikan bantuan sampai segera dan berkesan kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.
































