Haji Hajiji Haji Noor
PENAMPANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyeru seluruh penggiat media dan penyiaran, khususnya warga TV Sabah, agar menjadikan platform itu sebagai dunia kreativiti dan tempat berkarya.
“Saya amat menghargai kerjasama erat penggiat seni, pempengaruh, artis, bahagian teknikal penyiaran, dan studio teknikal bagi memartabatkan industri ini serta menarik pelaburan daripada syarikat korporat tempatan dan luar negara,” katanya sempena majlis makan malam pelancaran TV Sabah dan Berita TV di Hongkod Koisaan, KDCA, di sini hari ini. Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.
Hajiji turut berharap pasukan TV Sabah terus berkarya, mewarnai dan memajukan negeri dengan inovasi serta kreativiti.
“Saya yakin dengan potensi yang kita miliki di Sabah – dalam aspek bakat dan sumber – tidak mustahil Sabah akan mencapai visi dan menjadi peneraju industri kreatif yang mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Beliau menambah, kerjasama antara TV Sabah dengan syarikat dalam industri seni akan membuka lebih banyak peluang yang boleh diterokai untuk masa depan bidang penyiaran dan penerbitan media di negeri ini.
“Ini bukan sahaja demi memartabatkan dunia penyiaran dan kreatif di Sabah, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah dalam bidang penyiaran dan penerbitan media,” jelasnya.
Dalam majlis tersebut, TV Sabah turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan lima syarikat dalam dunia media kreatif, iaitu Breeze Magazine (majalah gaya hidup di Sabah), Persatuan Filem dan Visual Sabah, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Syarikat Music Right Sabah (hak cipta lagu dan royalti), serta Syarikat Millenium Virtual Production (teknikal penyiaran).
Hajiji berkata era digital masa kini telah mengubah gaya hidup masyarakat di seluruh dunia, termasuk di Sabah.
“Peratusan penonton menggunakan aplikasi media penstriman semakin meningkat disebabkan kemudahannya yang fleksibel, mudah diakses dan mempunyai lebih banyak pilihan.
“Sebagai TV digital yang menyajikan 70 peratus kandungan berkaitan Sabah, TV Sabah telah berjaya mempromosikan kekayaan budaya, warisan, tradisi dan ekosistem semula jadi negeri ini sebagai tarikan pelancongan utama.
“Dengan pelancaran Berita TV, TV Sabah akan turut menyajikan pengisian program berfokus kepada politik, ekonomi, hiburan, sukan dan sosial,” katanya.
Sejak mula beroperasi, TV Sabah boleh dicapai melalui media sosial, aplikasi dan penstriman “over-the-top” (OTT), sekali gus mencatat capaian bulanan melebihi 20 juta.
“Ini membuktikan peningkatan konsisten penonton, dan saya yakin saluran ini akan terus menjadi wadah utama bagi mendapatkan berita-berita terkini khususnya yang berlaku di Sabah,” katanya.