LONDON: Sekumpulan saintis dari Britain, Denmark, Jerman dan Switzerland berjaya membangunkan satu model kecerdasan buatan (AI) baharu yang mampu meramal diagnosis perubatan bertahun-tahun lebih awal, berasaskan teknologi sama di sebalik chatbot popular seperti ChatGPT.
Menurut Utusan Malaysia, model dinamakan Delphi-2M itu boleh meramal lebih 1,000 jenis penyakit pada masa hadapan dengan menggunakan rekod sejarah kesihatan pesakit, menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature.
Penyelidik melatih model tersebut menggunakan data daripada UK Biobank, pangkalan data penyelidikan bioperubatan berskala besar yang menyimpan maklumat kira-kira setengah juta peserta di Britain.
Berbanding alat ramalan penyakit sedia ada seperti QRISK3 yang hanya menilai risiko serangan jantung atau strok, Delphi-2M dikatakan mampu meramal pelbagai jenis penyakit secara serentak dalam jangka panjang.
Pakar AI di Pusat Penyelidikan Kanser Jerman, Moritz Gerstung menjelaskan, pemahaman terhadap susunan diagnosis pesakit adalah seumpama mempelajari tatabahasa dalam teks.
Katanya, Delphi-2M mampu mengesan corak dalam data rawatan kesihatan, termasuk kombinasi dan urutan penyakit, sekali gus menghasilkan ramalan yang signifikan serta relevan dengan kesihatan.
Ujian ke atas hampir dua juta rekod kesihatan awam di Denmark turut mengesahkan keberkesanan model tersebut namun, para penyelidik menegaskan ia masih memerlukan ujian lanjut dan belum bersedia digunakan dalam sistem klinikal.
Penyelidik teknologi kesihatan, Peter Bannister, dari Institution of Engineering and Technology Britain berkata, kedua-dua set data Britain dan Denmark mempunyai bias dari segi umur, etnik dan hasil rawatan sedia ada.
Namun, para pakar percaya teknologi seumpama ini berpotensi membantu pemantauan kesihatan secara lebih awal, memacu perubatan pencegahan serta mengoptimumkan sumber dalam sistem penjagaan kesihatan yang semakin terbeban.
Profesor di King’s College London, Gustavo Sudre menyifatkan kajian itu sebagai satu langkah penting ke arah pembangunan model ramalan yang berskala, boleh ditafsir serta lebih bertanggungjawab secara etika.