KOTA KINABALU: Tiga insiden tanah runtuh berlaku di Papar dan Kolombong hari ini, meragut sekurang-kurangnya tujuh nyawa manakala dua lagi masih hilang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, kejadian pertama dilaporkan berlaku di Kg Mook, Papar pada jam 10.02 pagi.
Dalam insiden itu, tanah runtuh menghempap tiga buah rumah dan menyebabkan dua mangsa tertimbus. Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa, namun kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.

Kes kedua pula dilaporkan pada jam 9.20 pagi di Kg Marahang Tuntul, Papar, yang turut menghempap sebuah rumah. Tiga orang mangsa dilaporkan terlibat, dua daripadanya sudah dijumpai pasukan bomba dan sedang dikeluarkan, manakala seorang lagi masih belum ditemui sehingga kini.
Sementara itu, kejadian ketiga yang paling serius berlaku di Kg Cendera Kasih, Kolombong pada jam 10.02 pagi apabila sebuah rumah dihempap tanah runtuh.
Sebanyak 11 orang mangsa terlibat, dengan empat berjaya menyelamatkan diri. Bagaimanapun, lima mangsa disahkan maut, manakala dua lagi masih hilang dan operasi mencari serta menyelamat sedang giat dijalankan.
Operasi di ketiga-tiga lokasi melibatkan anggota dari Balai Bomba Papar, Balai Bomba Lintas, Unit Storm, Unit K9 serta bantuan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
JBPM Sabah memaklumkan, operasi pencarian masih diteruskan manakala pemantauan berterusan akan dilakukan di kawasan terjejas.































