Nizam ketika ditemui media.
TAWAU: Kerjasama erat antara Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan komuniti mampu memelihara kedaulatan negara daripada sebarang kekacauan anasir luar.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata ESSCOM memainkan peranan penting membendung jenayah rentas sempadan khususnya di perairan pantai timur Sabah.
“Saya melihat bahawa sesi libat urus Esscom bersama komuniti ini memang memberi impak yang begitu positif melihat daripada respon komuniti yang hadir, mereka amat-amat memberi perhatian terhadap segala taklimat yang diberikan.
“Sudah pasti ini akan menambah keyakinan mereka tentang peranan ESSCOM untuk menjaga sempadan kita khususnya bagi mengatasi jenayah rentas sempadan ini dan memelihara kawasan timur Sabah ini bebas atau terlindung daripada pencerobohan-pencerobohan anasir-anasir daripada luar negara.
“Saya berharap agar kerjasama yang erat antara ESSCOM dengan komuniti itu agar dapat terus diperkukuhkan lagi dan dapat bersama-sama dalam memelihara kedaulatan negara, negeri dan juga daerah kita yang tercinta ini.
“Saya berharap agar komuniti di kampung wakuba ini khususnya dapat memainkan peranan mereka sebagai mata telinga kepada keselamatan di kawasan ini sekiranya ada perkara-perkara yang boleh menimbulkan kekacauan ataupun yang boleh mengancam keselamatan terus melaporkan ataupun memberi maklumat ini kepada pihak ESSCOM supaya tindakan yang sewajarnya dapat diambil dan akhirnya akan memastikan kampung di kawasan kita ini berada dalam keadaan yang selamat, ” katanya ketika ditemui media dalam program Sesi Libat Urus Esscom bersama Warga Kampung Wakuba di Mini Dewan Sri Wakuba, pada Jumaat.
Sementara itu, Komander Esscom, Datuk Victor Sanjos menjelaskan kedudukan Kg Wakuba yang terletak berhampiran dengan perairan Indonesia serta kuasa ekonomi yang bekembang pesat menjadikannya titik penting dalam landskap keselamatan negara.
“Esscom melihat Wakuba bukan hanya dari sudut cabaran keselamatan tetapi sebagai aset besar apabila masyarakatnya kuat, ekonominya berkembang dan keselamatan terjamin maka seluruh ESSzone akan turut menikmati kemakmuran.
“Wakuba juga kaya dengan potensi, terkenal sebagai perkampungan nelayan dengan adanya kolam-kolam udang besar, aktiviti pertanian dan semangat masyarakat pelbagai etnik yang hidup harmoni dan mampu menjadi penjana kesejahteraan ESSzone.
“Kg Wakuba juga terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Tawau serta berhampiran dengan perairan sempadan Indonesia menjadikannya kawasan atau landskap kedaulatan dan keselamatan negara, “katanya.
Turut hadir, Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Joseph Pang, Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin, Wakil Ketua Anak Negeri Kampung Wakuba Sulaiman @ Suliman Ichang dan Ketua Kampung Wakuba, Ahmad Hassim @ Morris.
































