Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Bennety Mohd Dzul (kanan) menyampaikan buku hasil resolusi Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah Kali ke-28 kepada Jahid (tengah) sambil disaksikan Karim (dua dari kanan) dan Myrna (kiri).
KOTA KINABALU : Pegawai Daerah perlu memainkan peranan lebih proaktif sebagai penghubung kerajaan dengan rakyat bagi memastikan usaha membasmi kemiskinan luar bandar benar-benar berkesan dan sampai ke akar umbi.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, Datuk Seri Panglima Jahid Jahim, pelaksanaan Program Basmi Miskin Tegar (BMT) memerlukan kerjasama rapat pegawai daerah dengan kepimpinan akar umbi seperti JKKK dan ketua kampung kerana merekalah yang paling hampir dengan masyarakat.
“Persidangan ini telah mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa khusus BMT di peringkat daerah. Ini adalah platform penting untuk Pegawai Daerah memimpin usaha membasmi kemiskinan secara lebih tersusun dan berfokus,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan dan Makan Malam Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah Kali ke-28 di Tanjung Aru, dekat sini pada Jumaat.
Beliau berkata peranan Pegawai Daerah bukan sahaja memastikan program sampai kepada golongan sasaran, tetapi juga bertanggungjawab membuat perancangan awal, mengurus kewangan secara berhemah serta mengelak sebarang ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan pelaksanaan projek pembangunan.
“Pentadbiran daerah yang cekap dan berintegriti adalah asas memastikan semua projek sampai kepada rakyat. Saya tidak mahu hasil persidangan ini sekadar dibukukan, tetapi perlu diterjemahkan kepada tindakan nyata di lapangan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Jahid berkata resolusi persidangan kali ini turut menekankan keperluan menyemak semula penstrukturan daerah termasuk isu perjawatan dan persempadanan bagi memperkukuh kapasiti pentadbiran daerah.
Beliau juga mengingatkan pegawai daerah supaya lebih berhati-hati dalam pengurusan kewangan dengan mengambil iktibar peringatan Kementerian Kewangan mengenai peraturan AP59, agar tidak berlaku sebarang pelanggaran yang boleh membawa kepada tindakan undang-undang atau surcaj.
“Oleh itu, perancangan awal sangat penting dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan. Kita tidak mahu ada pegawai daerah yang didakwa hanya kerana gagal mematuhi prosedur kewangan,” jelas beliau.
Jahid turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan persidangan, khususnya Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang menjadi tuan rumah persidangan pada kali ini.
Hadir sama, Pembantu Menteri KPLB, Datuk Samad Jambri; Setiausaha Tetap KPLB, Datuk Myrna Jimenez; Timbalan Ketua Pengarah DBKK (Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan), Karim Rahim serta Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) DBKK, Faradillah Abdul Rani.


































