Artis PENTARAMA dan beberapa anggota JAPEN menyanyikan lagu Jalur Gemilang.
KUDAT : Sekolah Kebangsaan (SK) Palak menjadi destinasi terakhir program PENTARAMA Homecoming Fasa Kedua.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sabah itu berlangsung selama tiga hari bermula Rabu serta melawat ke lima buah sekolah di sekitar Pulau Banggi iaitu SK Lok Tohog, SK Limbuak, SK Padang, SK Laksian dan SK Palak.
Guru Besar SK Palak, Rosmin Harumin berkata, program itu memberi pengalaman berharga yang membantu murid lebih bersemangat untuk belajar.
“Kami warga SK Palak merasa sangat bertuah atas lawatan yang dibuat dan saya lihat sepanjang program tadi, murid-murid sangat bersemangat.
“Status SK Palak sebagai sekolah pedalaman tahap tiga semestinya ketinggalan dari segi kemudahan apalagi sekarang kerajaan sedang memperkasakan pendidikan digital.
“Dengan akses yang masih terhad, jurang pedalaman dan bandar agak besar.
“Melalui program hari ini, murid didedahkan mengenai penubuhan NADI di Pulau Banggi ini yang bagi saya merupakan usaha kerajaan dan nilai tambah kepada penduduk di sini yang jauh dari pembangunan juga dapat merapatkan jurang itu,” katanya ketika ditemui media selepas program PENTARAMA Homecoming di sini, pada Jumaat.
Beliau berharap murid pedalaman terus menerima manfaat daripada inisiatif sedemikian agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
Seramai 77 warga SK Palak memeriahkan sambutan berkenaan bersama-sama dengan rombongan JAPEN yang diketuai oleh Pengarah Penerangan, Jainisah Mohd Noor.
































