KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia lingkungan 50-an maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Pintas Tuaran berhampiran lampu isyarat Ford Sales Centre, di sini petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, insiden berlaku kira-kira jam 2.22 petang ketika mangsa yang menunggang motosikal dari arah Likas menuju ke Inanam dipercayai membuat pusingan U dan menukar lorong dari kiri ke kanan tanpa menyedari kehadiran pacuan empat roda yang berada di lorong kanan.
“Akibat itu, motosikal mangsa bergesel dengan bahagian kiri belakang kenderaan berkenaan menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah.
“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Likas untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada jam 3.46 petang semasa dalam rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu pacuan empat roda terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada tindakan mangsa menukar lorong tanpa memastikan keadaan jalan selamat.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk pemeriksaan kenderaan, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta ujian alkohol dan dadah,” jelasnya.
Kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, Kasim mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan jalan raya serta peka dengan keadaan trafik semasa bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.































