Liew (kiri) bersama Dr Jeanette, Chendra, Datuk Eliza Goh dan Rotarian jemputan pada majlis pelancaran rasmi Projek Kelip-Kelip dan Pemulihan Bakau di tapak Ekopelancongan Wetland Darau, Ahad lalu.
KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) menyokong Projek Kelip-Kelip dan Pemulihan Bakau anjuran Rotary Club Kota Kinabalu Pearl (RCKK Pearl) di tapak Ekopelancongan Wetland Darau dengan sumbangan sebanyak RM31,000.
Menterinya, Datuk Seri Christina Liew mengumumkan perkara itu pada majlis pelancaran rasmi produk pelancongan baharu di Kg Darau, di sini, Ahad.
“Tahniah. Saya amat kagum dengan pandangan jauh dan projek inovatif RCKK Pearl untuk memulihara populasi kelip-kelip serta memulihkan kawasan bakau yang semakin berkurangan di kawasan ini melalui kerjasama dengan komuniti tempatan. Inisiatif ahli-ahli Rotary wanita ini mencerminkan keprihatinan mereka terhadap perlindungan alam sekitar, promosi ekopelancongan dan kesejahteraan sosioekonomi rakyat.
“Seperti kata Presiden (Datin Dr Jeanette Tambakau), ‘Kita tidak menanam hanya untuk hari ini—kita menanam untuk esok, untuk generasi akan datang’.
“Justeru, kementerian saya melakukan bahagian kami untuk memastikan kejayaan dan kelestarian usaha murni kelab ini bagi menjadikan Darau sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf penuh,” katanya.
Menurut Liew, projek bermakna itu bukan sahaja melindungi ekosistem dan biodiversiti di Wetland Darau, tetapi juga memastikan komuniti setempat mendapat manfaat secara langsung melalui persekitaran yang sihat dan produktif.
Beliau menggesa komuniti Darau agar menggembleng sumber untuk mempromosikan tapak ekopelancongan Wetland Darau supaya lebih ramai pelawat domestik dan antarabangsa mengenali destinasi baharu ini.
“Saya berharap Rotary Club antarabangsa yang menjadi rakan projek dapat mempromosikan produk ekopelancongan ini kepada rakan, sahabat dan keluarga mereka di negara masing-masing,” katanya.
Menteri itu memberi jaminan kementeriannya akan terus menyokong usaha menjadikan Wetland Darau sebagai salah satu destinasi pelancongan mesti lawat. “Anda mempunyai pakej pelayaran sungai, panorama matahari terbenam, kelip-kelip dan banyak lagi produk yang boleh dibangunkan pada masa akan datang.”
Liew kemudian menyampaikan sijil penghargaan kepada pemimpin atau wakil daripada Rotary Club of Marina City (Singapura), Rotary Club of Taipei (Taiwan), Rotary Club of Taichung Hui Min (Taiwan), Rotary Club of Makati Emerald (Filipina), Rotary Club of Metro Kuala Lumpur dan Rotary Club of Kulai, Johor.
Penerima lain termasuk Pengerusi Yayasan Kelab-Kelab Rotary Malaysia merangkap Presiden Sabah Wetland Conservation Society, Datuk Zainie Abdul Aucasa; Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS, Prof Madya Dr Fiffy Hanisdah Saikim; Penyelidik UMS (IBTP), Prof Madya Dr Mahadimenakbar Mohamed Dawood; serta Pengerusi JKKK Kg Darau, Asin Lamsin.
Dr Jeanette, yang juga Pengerusi Perkhidmatan Komuniti kelab (2024-2025), berkata kehadiran Menteri mencerminkan sokongan padu dan komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar, ekopelancongan dan pemerkasaan komuniti.
Mengimbas kembali perkembangan projek itu, beliau berkata pada 2017–2018, di bawah pimpinan Presiden ketika itu, Datuk Suzannah Liaw, RCKK Pearl memulakan salah satu projek alam sekitar paling berimpak besar kelab berkenaan.
“Dengan sokongan padu ahli, rakan kerjasama dan penaja yang bermurah hati, kami berjaya mengumpul hampir RM100,000—dana yang membolehkan kami menanam 13,200 pokok keseluruhannya,” katanya.
Sebanyak 8,000 pokok bakau ditanam di Kawasan Pemuliharaan Bakau Sulaman dengan bantuan Rotarian, Rotaractor dan Interactor, manakala 4,000 lagi ditanam di Darau melalui kerjasama komuniti tempatan dengan sokongan geran RM15,000 daripada KePKAS pada 2018. Tambahan 5,200 pokok buah-buahan dan hiasan pula ditanam di rumah, sekolah, kolej serta di Teluk Likas.
Dr Jeanette turut mengiktiraf peranan Pengerusi Penganjur, Chendramata Sinteh, yang juga Presiden terdahulu, dalam usaha menanam tambahan 6,000 anak pokok bakau serta menjalin kerjasama dengan UMS bagi Projek Ekopelancongan Kelip-Kelip semasa penggal 2024-2025 beliau.
“Pelaksanaan inisiatif perintis—Program Pemuliharaan Kelip-Kelip ‘Mari Kita Buat Kelip-Kelip Kembali Bersinar’, menjadi kenyataan melalui kepakaran pasukan UMS yang diketuai Dr Mahadimenakbar.
“Tidak dilupakan Sudin Yusop dari UMS dan pasukannya serta Jamaluddin bersama pasukan Wetland Darau yang banyak membantu menanam 6,000 anak pokok sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan bakau. Paling penting, kami juga ingin menghargai komuniti Wetland Darau.
“Akhir sekali, kami berterima kasih kepada Komuniti Wetland Darau, diketuai Ketua Kampung Jati, atas kepimpinan dan komitmen padu terhadap pemilikan serta kelestarian komuniti,” kata Presiden itu.
“Program ini bukan hanya tentang pokok, atau hanya tentang kelip-kelip—ia adalah tentang mengembalikan keseimbangan ekosistem kita, menghidupkan semula keindahan semula jadi Sungai Darau dan memperkasa komuniti tempatan sebagai penjaga pemuliharaan serta ekopelancongan lestari.”
Katanya, semua ini tidak akan tercapai tanpa sokongan padu rakan kerjasama, penaja, agensi kerajaan, universiti, pemimpin komuniti dan para sukarelawan.
































