Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyeru rakyat agar terus menyemai semangat patriotisme, memelihara perpaduan dan mengekalkan keharmonian dalam kalangan pelbagai kaum serta agama di negeri ini.
Dalam perutusannya sempena sambutan Hari Sabah dan Hari Kebangsaan 2025, Ketua Menteri berkata, sambutan berganda ini memberi ruang untuk menyingkap sejarah, memperkukuh jati diri dan menyuburkan rasa cinta kepada negeri.
“Tarikh 31 Ogos mempunyai makna besar dalam sejarah Sabah. Pada tarikh ini, kita meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah, dua perayaan yang boleh menjadi faktor penyatu kepada seluruh rakyat Malaysia yang berbilang latar belakang.
“Sesungguhnya, tarikh bersejarah ini bukan sekadar detik untuk diingati dan diraikan, tetapi juga saat untuk kita benar-benar menghargai pengorbanan pejuang kemerdekaan negara yang berjuang gagah demi kebebasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hajiji berkata, tema Hari Kebangsaan 2025 iaitu “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni” dan tema Hari Sabah 2025 “Untukmu Sabah Tanah Airku” menzahirkan mesej bersama yang berpaksikan prinsip Madani serta Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Marilah kita terus berwaspada terhadap sebarang anasir negatif yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan sehingga membawa kepada perpecahan,” katanya.




























