Farahwahida Ahmad menunjukkan rumah selepas kejadian gempa bumi yang keenam di Segamat, Johor.
SEGAMAT: Gegaran gempa bumi lemah yang keenam berlaku di daerah ini, kira-kira pukul 7.29 pagi ini.
Menurut Utusan Malaysia, pengalaman ini dirasai oleh sebahagian besar penduduk Segamat dan gegaran kali ini agak kuat berbanding sebelumnya.
Wartawan Utusan Malaysia, Farahwahida Ahmad, 38, sendiri mengalami gegaran ini di mana lantai rumah seperti bergerak dan siling bergoyang.
“Saya berada di rumah sewaktu kejadian. Tiba-tiba lantai rumah seperti teralih dan bergerak tetapi keadaan itu hanya dalam dua saat.
“Siling rumah juga rasa bergegar dengan bunyi seperti kenderaan berat lalu di depan rumah tetapi tiada satu pun kenderaan lalu.
“Saya terus bertanya kepada ahli keluarga yang lain dan mereka juga rasakan yang sama,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) berkata, gempa bumi lemah telah berlaku di Segamat, Johor pada pukul 7:29 pagi membabitkan koordinat 2.5° Utara dan 102.8° Timur, dengan magnitud 2.7 manakala jarak 2km Barat Laut dari Segamat serta kedalaman 10 kilometer (KM).
Seorang lagi penduduk, Efirul Rahman, 38, berkata, sewaktu kejadian dia sedang bersiap untuk ke tempat kerja.
“Saya tengah bersiap ke tempat kerja pagi ini. Tiba-tiba rasa gegaran. Isteri saya juga rasa dan saya lihat di media sosial facebook ramai penduduk Segamat juga berkongsi pengalaman yang sama.
“Kami harap pihak berwajib dapat memberikan kenyataan sampai bila keadaan ini akan berlaku kerana kami bimbang akan keselamatan anak-anak terutama sekali ketika di sekolah,” katanya.


































