Redonah bergambar bersama kanak-kanak Tadika Korongkom, Kota Marudu.
KOTA MARUDU: Sambutan Hari Kemerdekaan di Tadika Korongkom, Kota Marudu, semalam berlangsung meriah dengan pelbagai acara patriotik melibatkan kanak-kanak, ibu bapa serta komuniti setempat.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Redonah Bahanda di Dewan PPR Taman Korongkom.
Dalam ucapannya, Redonah menegaskan bahawa sambutan Hari Kemerdekaan tidak hanya sekadar acara menaikkan bendera atau menyanyikan lagu patriotik, sebaliknya perlu dijadikan wadah untuk menyemai nilai kasih sayang, hormat-menghormati serta keprihatinan terhadap orang lain.
Beliau turut menekankan isu buli yang semakin mendapat perhatian masyarakat, sambil menegaskan usaha membanteras gejala itu merupakan tanggungjawab bersama.
“Didikan bermula dari rumah, diteruskan di sekolah dan diperkukuh oleh masyarakat. Setiap ibu bapa perlu menjadi teladan yang baik, sekolah pula berperanan membentuk disiplin dan sahsiah, manakala masyarakat harus sentiasa peka terhadap persekitaran.
“Apabila semua pihak berganding bahu, kita dapat membina generasi yang berjiwa merdeka, berakhlak mulia dan bebas daripada budaya buli,” katanya.
Redonah menambah, semangat kemerdekaan harus diterjemahkan dalam amalan hidup seharian termasuk membina masyarakat yang prihatin, bersatu padu serta berdaya saing.
“Malaysia hanya akan terus melangkah ke hadapan sebagai negara yang aman, sejahtera dan berdaya maju apabila kita mengamalkan nilai murni dalam kehidupan seharian,” katanya lagi.
Majlis turut diserikan dengan persembahan kanak-kanak prasekolah, selain Pertandingan Busana Tradisional Keluarga yang memberi suntikan semangat kepada komuniti setempat untuk terus menyemarakkan rasa cinta kepada tanah air.


































