KUALA LUMPUR: Lebih 400 individu dipercayai ahli sindiket penipuan disiasat polis bagi membantu siasatan berhubung serbuan dilakukan polis di ibu negara Rabu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan mengenai serbuan dan penahanan berkenaan namun enggan mengulas lanjut memandangkan tangkapan dilakukan begitu ramai.
“Saya sahkan perkara itu berlaku dan satu sidang media khas akan dilakukan dalam masa terdekat ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini kelmarin.
Terdahulu, sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina melaporkan mengenai serbuan polis menumpaskan sindiket perjudian dan penipuan dalam talian terbesar di ibu negara selepas menahan lebih 100 individu dalam serbuan di sebuah menara komersial di Bangsar South.
Akhbar itu melaporkan, operasi berkenaan dijalankan ke atas sekurang-kurangnya lima tingkat bangunan yang dipercayai menempatkan pusat panggilan sindiket tersebut.
Difahamkan, kumpulan lelaki dan wanita yang ditahan dibawa dengan tujuh trak polis secara berperingkat ke balai berhampiran untuk siasatan lanjut.


































