Hajiji menyampaikan Tajaan Pendidikan Yayasan Sabah kepada salah seorang penerima.
TAMBUNAN: Kumpulan Yayasan Sabah, dengan mandat untuk memastikan semua rakyat Sabah berkongsi hasil negeri, telah memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri sejak penubuhannya pada tahun 1966, kata Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Yayasan Sabah bukan sekadar sebuah institusi. Ia adalah legasi perjuangan yang diasaskan oleh Allahyarham pemimpin negeri ini, Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun pada tahun 1966.
“Tahun depan genap 60 tahun usia Yayasan Sabah, dan ini adalah satu pencapaian luar biasa bagi sebuah organisasi yang ditubuhkan untuk rakyat,” katanya pada Jelajah Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR 2025) yang diadakan di Dataran Pisompuruan, di sini hari ini.
YSBR 2025 adalah bukti bahawa Kerajaan Negeri tetap komited mendekati rakyat di semua peringkat, dari bandar hingga ke kampung pedalaman, bagi memahami dan menunaikan keperluan sebenar rakyat.
Melalui bantuan pendidikan Yayasan Sabah, ramai anak Sabah berjaya keluar daripada kitaran kemiskinan sehingga menjadi golongan profesional dan pemimpin, katanya.
Beliau berkata, institusi pendidikan Yayasan Sabah – Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) – telah menjadi platform utama dalam melahirkan generasi berilmu dan berkemahiran tinggi.
Kerajaan Negeri melalui Yayasan Sabah juga telah memperkenalkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) untuk membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, khususnya kumpulan B40.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa tiada anak Sabah akan tercicir dalam melanjutkan pengajian tinggi hanya kerana kekangan kewangan. Sejak diperkenalkan pada 2022, sejumlah RM17.8 juta telah dibelanjakan menerusi TPNS, memberi manfaat kepada 10,912 pelajar,” katanya.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, Yayasan Sabah turut diiktiraf sebagai peneraju dalam pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar.
Sehingga 2025, seluas 199,146 hektar atau 94.5 peratus daripada keseluruhan kawasan pemuliharaan Kumpulan Yayasan Sabah berjumlah 210,725.6 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan).
“Kawasan pemuliharaan seperti Lembah Danum, Banjaran Maliau, Imbak Canyon, Sungai Taliwas dan Pantai Silam yang diiktiraf sebagai rujukan saintifik bertaraf dunia adalah bukti komitmen Yayasan Sabah dalam memelihara alam semula jadi negeri ini.
“Usaha pemuliharaan ini bukan sekadar melindungi alam, tetapi juga memperkukuh identiti Sabah sebagai negeri yang menghormati warisan semula jadinya untuk generasi akan datang,” katanya.
Hajiji berkata, YSBR 2025 adalah kesinambungan usaha membawa agensi, peluang dan perkhidmatan terus kepada rakyat agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan perdana.
Terdahulu, Hajiji yang diiringi Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Ghulamhaidar Khan Bahadar, menyampaikan antaranya Tajaan Pendidikan Yayasan Sabah serta bantuan TPNS kepada para pelajar dan pewartaan kampung.


































