PETALING JAYA: Seramai 500,000 pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) akan menerima Baucar Buku Madani bernilai RM100, yang mula dilaksanakan pada hari ini hingga 12 Disember 2025.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif tersebut menyasarkan pelajar di universiti awam (UA), politeknik, kolej komuniti, dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) yang merupakan warganegara Malaysia.
Katanya, pelaksanaan program ini akan dilakukan sepenuhnya secara atas talian melalui portal MySiswaPlace (https://mysiswaplace.my/) untuk semakan kelayakan, penjanaan dan penebusan baucar, serta pembelian bahan bacaan digital dan fizikal.
“Lebih satu juta judul bahan bacaan disediakan melalui portal berkenaan oleh lebih 250 rakan niaga, termasuk buku akademik, e-book, bahan rujukan, bacaan ilmiah dan pelbagai lagi.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam menyokong keperluan pembelajaran pelajar, meringankan beban kewangan, serta membudayakan amalan membaca dalam kalangan generasi muda,” katanya dalam kenyataan itu, kelmarin.
Dalam pada itu, KPT berharap semua pelajar yang layak dapat menggunakan baucar buku itu secara optimum untuk memperkasa ilmu pengetahuan serta memperkukuh keupayaan diri, selaras dengan hasrat kementerian untuk melahirkan bakat terbaik negara.


































