RANAU: Sekolah Kebangsaan (SK) Tibabar K9, Ranau berjaya melaksanakan program kesedaran dan pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) menerusi SciTech4U – STEM Camp MOSTI 2025 pada 22 hingga 23 Ogos lalu.
Program strategik ini adalah hasil kerjasama erat antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) Universiti Malaysia Sabah (UMS), U-Science UMS serta sokongan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ranau.
Seramai 125 murid menyertai program berkenaan, terdiri daripada 100 murid SK Tibabar K9 dan 25 murid Tahun 4 hingga Tahun 6 dari lima sekolah sekitar Zon Garas PPD Ranau, iaitu SK Timbua, SK Togop Darat, SK Pinawantai, SK Naradan dan SK Tarawas.
Tujuan utama penganjuran adalah memperkasa generasi muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui kaedah pembelajaran yang menyeronokkan, inovatif dan praktikal.
Sepanjang dua hari, peserta mengikuti pelbagai aktiviti berasaskan teknologi dan inovasi termasuk pengaturcaraan menggunakan mBlock, pengenalan mikrobotik, serta penerokaan konsep automasi melalui Reka Edukit.
Selain itu, program turut diserikan dengan sesi riadah, ceramah motivasi, bengkel teknologi dan cabaran berkumpulan yang mampu merangsang minat serta kreativiti murid. Semua aktiviti disusun oleh penyelaras program, Cikgu Kelvin Dale Yubidi, bersama rakan strategik sekolah, U-Science UMS yang diketuai Haji Zawawi Datuk Haji Tiyunin.
Bagi menjayakan program ini, barisan fasilitator dari FKI UMS turut digerakkan, terdiri daripada dua pensyarah, Prof. Madya Dr. Azali Saudi selaku ketua pasukan, serta Dr. Suaini Sura, dibantu sembilan pelajar universiti sebagai fasilitator bengkel.
Guru Besar SK Tibabar K9, Jasni Halim yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terutama UMS atas sumbangan kepakaran dan tenaga.
Beliau berkata, kerjasama strategik itu telah memberi banyak impak positif kepada murid, termasuk pencapaian SK Tibabar K9 yang muncul johan keseluruhan peringkat daerah Karnival STEM Generasi Madani pada Jun lalu, selain kejayaan di peringkat negeri dalam beberapa acara termasuk National Robotics Competition (NRC) dan My Robotic Challenge (MYRC).
Majlis turut diserikan dengan kehadiran wakil MOSTI iaitu Ahmad Fadhil Mohd Salleh (Pegawai Sains Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI) dan Fadzin Nazirin Mihat (Pegawai Tadbir Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI).
MOSTI merakamkan penghargaan atas usaha semua pihak menjayakan program berteraskan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030, khususnya menyokong Teras 5 dasar berkenaan.
Perasmian penutupan disempurnakan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Maarif Mohamad yang mewakili Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Barizah Mohd. Kahar.
Beliau mengucapkan tahniah kepada semua pihak terlibat serta berharap usaha memperkasa pendidikan STEM terus dipergiat, sekali gus memastikan murid luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan teknologi.


































