PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat enam sebuah pangsapuri di Kota Damansara dekat sini, Khamis lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira pukul 4.42 petang.
Beliau berkata, mangsa ditemukan orang awam dalam keadaan terbaring di laluan pejalan kaki sebelum melaporkan kejadian kepada polis.
“Pasukan perubatan yang hadir ke lokasi mengesahkan kanak-kanak terbabit telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai jatuh dari tingkat enam pangsapuri berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Ainaa Athira di talian 010-2762186,” katanya.
Kejadian itu tular di platform media sosial apabila seorang pengguna memaklumkan tentang kematian seorang kanak-kanak dipercayai terjatuh dari pangsapuri berkenaan.


































