Lish Marie tular di TikTok apabila berkongsi pengalaman ngeri memicit jerawat kecil di bawah lubang hidungnya.
NEW YORK: Perbuatan memicit jerawat di kawasan wajah yang dikenali sebagai ‘Segitiga Maut’ iaitu kawasan antara pangkal hidung hingga ke kedua-dua penjuru mulut boleh mengundang komplikasi serius, termasuk jangkitan otak, lumpuh, strok dan kematian, menurut pakar perubatan.
Menurut Utusan Malaysia, amaran itu kembali menjadi tumpuan selepas seorang ibu muda, Lish Marie, tular di TikTok apabila berkongsi pengalaman ngeri selepas cuba memicit jerawat kecil di bawah lubang hidungnya menggunakan kuku.
Dalam tempoh beberapa jam, bahagian kiri wajahnya mula membengkak teruk sehingga senyumannya menjadi senget dan menyakitkan.
Keadaan itu memaksa Lish bergegas ke unit kecemasan, di mana doktor segera memberikannya empat jenis ubat, termasuk antibiotik dan steroid, bagi menghentikan jangkitan yang dipercayai telah memasuki saluran darah.
“Saya bernasib baik kerana dapat rawatan awal. Senyuman saya kembali normal selepas tiga hari,” katanya dalam hantaran di TikTok.
Kisah Lish mencetuskan perbincangan hangat, dengan ramai pengguna berkongsi pengalaman hampir sama.
Menurut laporan New York Post, seorang wanita menderita jangkitan staph teruk sehingga meninggalkan parut, manakala seorang ibu pula menceritakan bagaimana anak perempuannya terpaksa menjalani pembedahan wajah selepas jangkitan merebak, selain ditahan di hospital selama seminggu.
Pakar dermatologi, Dr Vishakha Dhorde, menjelaskan kawasan tersebut berisiko tinggi kerana anatomi saluran darah yang tidak mempunyai mekanisme penghalang aliran darah songsang.
“Jika bakteria daripada jerawat yang dijangkiti memasuki saluran darah, ia boleh sampai ke otak dan menyebabkan jangkitan serius seperti septic cavernous sinus thrombosis, sekali gus mengundang risiko buta, strok, lumpuh, atau maut,” katanya.
Walaupun kes sedemikian jarang berlaku, pakar menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati kerana bakteria berbahaya seperti Staphylococcus atau Streptococcus sukar dikawal apabila sudah memasuki aliran darah.






























