JOHOR BAHRU: Polis Johor sedang memburu dua lelaki yang menceroboh sebuah sekolah swasta di Jalan Sultan Ibrahim, Kampung Stulang Laut, di sini awal pagi semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 3.30 pagi.
“Kedua-dua suspek telah memanjat pagar hadapan sekolah berkenaan sebelum memasuki kawasan gelanggang bola keranjang.
“Suspek kemudian didapati melemparkan kon-kon yang berada di lokasi sebelum bertindak melarikan diri dengan memanjat pagar sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Raub memberitahu, siasatan mendapati tiada sebarang kerosakan atau kehilangan harta benda dilaporkan berlaku.
“Semakan kamera litar tertutup mendapatkan kehadiran sekumpulan lelaki dan wanita melalui kawasan hadapan sekolah, sebelum dua daripada mereka menceroboh masuk.
“Pihak sekolah telah mengesahkan suspek berkenaan serta rakan-rakan mereka bukan pelajar di sekolah tersebut,” katannya memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.
































