Shazeli Kahar
PETALING JAYA: Siasatan serangan anak kepada anak lelaki Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada 13 Ogos lalu kini diambil alih oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kes tersebut kini telah diserahkan kepada JSJ Bukit Aman dan tindakan itu dibuat adalah selaras dengan keperluan siasatan yang lebih menyeluruh dan berpusat.
“Polis Selangor mengesahkan siasatan kes itu diserahkan kepada JSJ Bukit Aman. Penyerahan itu adalah selaras dengan keperluan siasatan yang lebih menyeluruh dan berpusat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu diminta untuk menyalurkan ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
“Kerjasama masyarakat amat dihargai demi memastikan keadilan dan ketelusan dalam proses siasatan,” katanya.
Media semalam melaporkan, polis menemukan beberapa petunjuk positf bagi mengesan suspek terlibat dengan kes serangan terhadap anak Rafizi pada Rabu lalu.
Shazeli dilaporkan berkata, petunjuk berkenaan diperoleh hasil penelitian dan semakan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan terbabit.
“Terdapat petunjuk pada rakaman CCTV namun tidak sepenuhnya pada waktu ini,” katanya.
Beliau dilaporkan berkata, setakat ini 14 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan kes itu.
Rabu lalu, media melaporkan polis mengesahkan anak Rafizi diserang dalam kejadian kira-kira 2 petang, di kawasan mengambil dan menurun penumpang, sebuah pusat beli-belah di Putrajaya dekat sini.
Rafizi mendakwa serangan itu melibatkan dua lelaki berpakaian hitam serta bertopi keledar yang menaiki sebuah motosikal dengan seorang daripadanya telah telah bertindak mengheret anaknya sebelum mencucuk sesuatu dengan menggunakan jarum suntikan.
































