KUANTAN: Penjualan rokok elektronik atau vape di semua premis perniagaan di negeri ini diharamkan mulai tahun depan.
Menurut Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff berkata, tempoh sehingga hujung tahun ini diberikan kepada peniaga untuk menghabiskan stok sedia ada sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.
Katanya, lesen baharu penjualan vape tidak akan dikeluarkan dan pihak berkuasa tempatan melaksanakan pemeriksaan secara menyeluruh mulai tahun depan.
“Kita sudah beri peringatan supaya peniaga tidak lagi membuat pesanan stok baharu. Tahun depan, mana-mana premis yang menjual vape akan dikenakan tindakan penguatkuasaan,” katanya selepas merasmikan Pasar Segar Serambi Teruntum, di sini kelmarin.
Kata beliau, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira peningkatan penyalahgunaan vape termasuk dalam kalangan pelajar sekolah dan golongan muda di negeri ini.
Dalam perkembangan lain, Mohammad Fakhruddin berkata, kerajaan negeri merancang melaksanakan projek Waste to Energy (WTE) di Kuantan dalam tempoh lima tahun bagi mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sampah konvensional.
“Projek fasa pertama itu akan dibangunkan di Gebeng selepas mendapat kelulusan kerajaan negeri, melibatkan pemprosesan kira-kira 600 tan sisa sehari di Kuantan dan dijangka mencecah 1,000 tan apabila turut memproses sisa dari daerah Rompin dan Pekan.
“Daripada jumlah itu, tenaga dapat dijana manakala air leachate akan diproses sehingga mencapai tahap kualiti tinggi yang boleh diminum, tidak berbau dan selamat dilepaskan ke alam sekitar. Langkah ini selaras dengan usaha negeri mencapai sasaran sifar bersih karbon (net zero) menjelang 2030,” katanya.




























