TOKYO: Jepun akan menggunakan kecerdasan buatan (AI) generatif untuk mengajar bahasa Jepun kepada kanak-kanak berketurunan asing.
Menurut Utusan Malaysia, Kyodo News melaporkan, langkah itu bertujuan menangani kekurangan guru mahir dalam bahasa seperti Portugis, Cina dan Sepanyol.
Kementerian Pendidikan merancang untuk menggabungkan aplikasi terjemahan berkuasa AI dengan pengajaran dalam talian bagi memastikan semua pelajar mendapat pendidikan tanpa mengira latar belakang.
Garis panduan itu dijangka dimuktamadkan tahun ini, dengan perbelanjaan berkaitan dimasukkan dalam permohonan belanjawan untuk tahun fiskal 2026 yang bermula April depan.
Sehingga Mei 2023, terdapat kira-kira 69,000 pelajar yang memerlukan pengajaran bahasa Jepun didaftarkan dalam sistem sekolah awam, menandakan jumlah tertinggi sejak 1991.
Bagaimanapun, kira-kira 10 peratus daripada mereka masih tidak menerima sokongan bahasa sama ada di dalam kelas atau selepas waktu sekolah.




























