Ravi ketika membuat pelepasan konvoi KMJG Sabah 2025 di Perkarangan Balai Polis Kota Kinabatangan.
KINABATANGAN: Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Negeri Sabah 2025 terus menerima sambutan hangat apabila singgah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan, di sini, pada pagi Jumaat.
Ketibaan konvoi disambut Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintenden Ravi Duraisamy bersama 187 pegawai dan anggota polis pelbagai pangkat dalam suasana penuh semangat patriotik dan kebersamaan.
Pada majlis ringkas tersebut, turut diadakan acara pengagihan Jalur Gemilang kepada pemilik kenderaan awam yang melalui kawasan jalan utama Kota Kinabatangan sebagai simbolik penyertaan rakyat dalam menyemarakkan Bulan Kebangsaan.
Turut hadir Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Sabah, Mohd Ismail Ayob; Pengarah Jabatan Penerangan Sabah merangkap Ketua Konvoi KMJG Sabah 2025, Jainisah Mohd Noor; dan Pegawai Penerangan Daerah Kota Kinabatangan, Sharifah Fairuz Tahir.
Sambutan itu mencerminkan sokongan padu pasukan keselamatan terhadap usaha merakyatkan semangat cintakan negara menerusi program KMJG, yang menjadi platform menyatukan masyarakat pelbagai lapisan di seluruh negeri.
Konvoi KMJG Sabah 2025 dijayakan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta mendapat sokongan padu daripada komuniti setempat di setiap lokasi persinggahan.