Sophia Albarakbah
PETALING JAYA: Pelakon Sophia Albarakbah, yang mendakwa mengalami tekanan emosi akibat menjadi mangsa buli siber dan gangguan seksual diminta mengemukakan bukti jelas berkaitan perkara itu kepada pihak berkuasa.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya mengesahkan terdapat laporan dibuat oleh pelakon tersebut sebelum ini.
Susulan laporan itu katanya, polis telah merekodkan keterangan Sophia bagi membantu siasatan.
“Polis masih menunggu bukti-bukti yang dimaksudkan kerana setakat ini beliau hanya menyatakan dakwaan tanpa pembuktian yang jelas.
“Setakat ini siasatan belum diklasifikasikan di bawah mana-mana seksyen kerana pelakon berkenaan belum menyerahkan bukti kukuh seperti pautan atau maklumat yang mengaitkan pihak tertentu dengan ugutan atau kecaman diterimanya,” katanya di sini semalam.
Menurut beliau, siasatan akan diteruskan selepas pihaknya menerima maklumat tambahan.
Kelmarin, Sophia mengambil tindakan tegas dengan membuat laporan polis berhubung kes buli siber dan gangguan seksual yang diterimanya selepas memenangi kategori Selebriti Feminin Terhangat pada satu majlis anugerah, baru-baru ini.
Menurut peguamnya, Aizat Izuan Shakeel, anak guamnya itu terkesan dengan tekanan emosi susulan kejadian tersebut sejak hampir seminggu lalu.
Akibat peristiwa itu, Sophia mengalami tekanan emosi yang serius dan bimbang ia boleh menjejaskan kesihatan mentalnya.
Peguam tersebut turut memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan polis dan menyediakan segala dokumen atau maklumat yang diperlukan bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar.






























