Tangkap layar sebuah Proton Exora dipandu melawan arus ketika keluar dari simpang Taman Megah menuju ke Jalan Mersing.
KLUANG: Seorang lelaki berusia 51 tahun ditahan selepas tindakannya memandu secara melawan arus di susur masuk persimpangan Taman Megah, Kilometer 57.4, Jalan Batu Pahat-Mersing hampir mengakibatkan kemalangan, Isnin lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian kira-kira pukul 4 petang itu menyebabkan sebuah kereta hampir bertembung ketika memasuki simpang berkenaan.
“Tindakan pemandu kereta Proton Exora itu keluar dari Taman Megah menggunakan jalan susur masuk secara melawan arus untuk menghala ke Mersing adalah satu perbuatan membahayakan pengguna jalan lain,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.
Rakaman kejadian tular di Facebook dan hasil siasatan polis berjaya mengesan serta menahan suspek, Rabu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM12,000 jika sabit kesalahan.
Pihak polis turut mengingatkan orang ramai agar tidak sesekali memandu secara melawan arus kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi turut mengundang risiko kehilangan nyawa kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain


































