SAN FRANCISCO: Meta melaporkan telah menutup hampir 7 juta akaun WhatsApp dalam separuh pertama tahun ini selepas dikenal pasti terlibat dengan kegiatan penipuan dan syarikat itu kini meningkatkan langkah keselamatan untuk mengekang aktiviti tersebut, pada Selasa.
“Kami mengenal pasti dan menyekat akaun-akaun ini sebelum kumpulan jenayah yang menciptanya sempat menggunakannya,” kata Pengarah Hal Ehwal Luar WhatsApp, Clair Deevy.
Menurut Utusan Malaysia, penipuan yang sering dikendalikan oleh sindiket terancang tersebut merangkumi pelaburan mata wang kripto palsu serta skim cepat kaya berbentuk piramid, menurut eksekutif WhatsApp dalam satu taklimat media.
“Terdapat satu corak yang harus menjadi amaran kepada semua antaranya anda perlu membayar terlebih dahulu untuk mendapat pulangan atau pendapatan yang dijanjikan,” jelas WhatsApp, yang dimiliki oleh Meta, dalam satu catatan blog.
Menurut Meta, lebih 6.8 juta akaun yang dikesan berpaut kepada pusat-pusat penipuan kebanyakannya beroperasi di Asia Tenggara telah disekat.
WhatsApp dan Meta turut bekerjasama dengan OpenAI untuk menyekat satu penipuan yang berpunca dari Kemboja di mana sindiket menggunakan ChatGPT untuk menjana mesej teks yang mengandungi pautan ke perbualan WhatsApp bagi memerangkap mangsa, menurut syarikat-syarikat teknologi itu.
Sebagai langkah tambahan, mulai Selasa, Meta mula memaparkan amaran kepada pengguna WhatsApp agar berwaspada sekiranya dimasukkan ke dalam kumpulan sembang oleh individu yang tidak dikenali.