PETALING JAYA: Seorang tukang kayu ditemukan maut dengan jerutan tali pinggang keledar di leher dalam sebuah kereta di tepi jalan berhampiran jejambat pusingan U Kepong- Damansara dekat sini awal pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima maklumat daripada anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) memaklumkan ada kemalangan maut membabitkan seorang lelaki menaiki kereta jenis Proton X70 di lokasi kejadian pada 1.30 pagi.
“Bagaimanapun, kita menerima panggilan daripada trafik Petaling Jaya pada 4.50 pagi tadi memaklumkan kematian mangsa berusia 46 tahun disahkan bukan kemalangan maut.
“Pada 5.05 pagi, anggota URB tiba di lokasi dan mendapati mangsa ditemukan meninggal dunia di dalam kereta dipercayai terdapat lilitan atau jerutan tali pinggang keledar pada lehernya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, kes disiasat kerana mati mengejut (SDR).


































