PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan berdasarkan aduan orang ramai berhubung penyebaran video memaparkan sekumpulan individu dipercayai pempengaruh media sosial memberi sisa makanan kepada gelandangan.
Menurut Utusan Malaysia, МСМС memandang serius tindakan menghasil dan menyebar kandungan mengeksploitasi golongan terpinggir semata-mata untuk hiburan murahan, menjana tontonan dan menimbulkan keresahan orang ramai.
“Penyebaran kandungan yang merendah atau menghina maruah individu bukan sahaja tidak beretika, malah mendorong kepada normalisasi budaya tidak berperikemanusiaan dalam masyarakat.
“МСМС menegaskan bahawa siasatan terhadap kandungan tersebut sedang dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular satu video satu kumpulan belia yang memberi sisa makanan kepada gelandangan sehingga mencetuskan kritikan orang ramai.
MCMC mengingatkan orang ramai agar tidak menyebar atau memuat naik sebarang kandungan bersifat provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
“Sebarang perkongsian kandungan jelik melampau, palsu atau berunsur ancaman boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 [Akta 588].
“Sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM500,000, dipenjara maksimum dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
MCMC komited dan tegas memastikan ruang siber tidak disalahgunakan, sejajar dengan usaha mengekalkan kedaulatan undang-undang dan keharmonian masyarakat.
 
































