Kerajaan negeri Victoria di Australia bercadang menggubal undang-undang baharu menjadikan amalan bekerja dari rumah sebagai hak pekerja.-Gambar Hiasan
SYDNEY: Kerajaan negeri Victoria di Australia bercadang untuk menggubal undang-undang baharu yang akan menjadikan amalan bekerja dari rumah sebagai satu hak yang termaktub, bukannya sekadar permintaan majikan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Menteri Victoria, Jacinta Allan berkata, di bawah rancangan tersebut, mana-mana pekerja yang mampu melaksanakan tugas secara jarak jauh akan diberi hak untuk bekerja dari rumah sekurang-kurangnya dua hari seminggu.
“Kami melaksanakan perkara ini kerana bukti yang ada jelas menunjukkan pekerja lebih produktif, masa bersama keluarga dapat dijimatkan dan perbelanjaan harian juga dapat dikurangkan,” katanya ketika membentangkan cadangan dasar itu pada Persidangan Parti Buruh peringkat negeri di Melbourne semalam.
Beliau menegaskan, dasar tersebut akan dibuka untuk rundingan bersama pekerja, majikan dan kesatuan sekerja bagi memastikan pelaksanaannya dilakukan secara menyeluruh dan berkesan.
“Kita mahu pastikan setiap perincian perubahan penting ini diperhalusi dengan baik,” katanya.
Menurut beliau, langkah tersebut bukan sahaja boleh menjimatkan purata A$110 (RM470.50) seminggu bagi seorang pekerja, malah mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas serta mengekalkan lebih ramai wanita dalam sektor pekerjaan.
Semasa pilihan raya peringkat persekutuan yang lalu pada Mei, dasar gabungan pembangkang Liberal-Nasional yang menolak kerja jarak jauh dilihat menjadi antara punca utama kekalahan mereka.
Sementara itu, Ketua Pembangkang Victoria, Brad Battin, turut mengakui nilai kerja dari rumah dalam membantu keseimbangan hidup dan kerjaya, sambil menyatakan sokongan terhadap langkah-langkah yang mampu meningkatkan kesejahteraan pekerja.
Rang undang-undang berkenaan dijangka akan dibentangkan di Parlimen Negeri Victoria menjelang tahun 2026.
































