Thaddeus Daniel Pierce dilahirkan dilahirkan di sebuah hospital berhampiran Knoxville, Tennessee pada 26 Julai lalu.
KNOXVILLE: Seorang bayi lelaki selamat dilahirkan di sebuah hospital berhampiran Knoxville, Tennessee minggu lalu selepas ‘disimpan’ selama 31 tahun sebagai embrio beku, menjadikannya antara kelahiran paling unik dalam sejarah perubatan moden.
Menurut Utusan Malaysia, bayi tersebut, Thaddeus Daniel Pierce, dilahirkan pada 26 Julai lalu dengan berat kira-kira 3 kilogram (kg) dengan rambut halus di kepala.
Namun secara teknikalnya, Thaddeus sudah ‘hidup’ sejak tahun 1994, tahun di mana filem Forrest Gump mula ditayangkan dan konsol permainan PlayStation pertama diperkenalkan dalam pasaran.
Menurut laporan media tempatan, embrio Thaddeus berada di simpanan kriogenik selama 11,148 hari dalam takungan nitrogen cecair sebelum diambil sebagai anak angkat oleh pasangan dari Ohio, Lindsey Pierce, 35, dan Tim Pierce, 34.
“Dia sangat tenang. Kami benar-benar terharu memiliki bayi seistimewa ini,” ujar Lindsey yang melahirkan bayi itu selepas rawatan implantasi embrio.
Embrio itu asalnya milik seorang wanita bernama Linda Archerd, kini berusia 62 tahun, yang menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) pada tahun 1990-an selepas bertahun-tahun mengalami masalah kesuburan.
Daripada empat embrio yang dihasilkan menerusi rawatan tersebut, satu berjaya melahirkan seorang anak perempuan namun, selepas melalui perceraian, tiga embrio yang selebihnya terus disimpan dalam peti simpanan khas tanpa digunakan.
Walaupun kaedah ini jarang diamalkan dengan hanya kurang dua peratus kelahiran di Amerika Syarikat (AS) melibatkan IVF, ia memberikan jalan tengah antara membiarkan embrio lupus secara senyap atau mendermanya secara tanpa nama.
Kini, dianggarkan sekitar 1.5 juta embrio masih tersimpan dalam peti sejuk beku di seluruh negara, menanti peluang kedua atau keputusan pentadbiran yang muktamad.
Kelahiran Thaddeus berlaku ketika wacana undang-undang mengenai status embrio semakin hangat dibincangkan di mana pada awal tahun ini, Mahkamah Agung Alabama memutuskan embrio beku adalah setara dengan kanak-kanak dari sudut perundangan, menyebabkan panik dalam kalangan pusat rawatan IVF.
Walaupun perlindungan undang-undang sementara diperkenalkan, persoalan mengenai status etika, emosi dan perundangan embrio beku masih belum diselesaikan sepenuhnya.
































