Tun Musa diiringi Hajiji melawat reruai pameran pasukan keselamatan.
KOTA KINABALU: Upacara penuh emosi bagi mengenang jasa wira negara yang terkorban dalam insiden pencerobohan Tanduo 2013 mewarnai sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah 2025 yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan, hari ini.
Sambutan itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman yang turut diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Upacara dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan kehormat oleh Tun Musa, diikuti dengan upacara menaikkan bendera kebangsaan dan negeri, tiupan Last Post serta bacaan doa selama 30 saat bagi memperingati para pahlawan yang gugur.
Tun Musa dan Ketua Menteri kemudiannya melawat Muzium Polis Sabah dan reruai pameran pasukan keselamatan, diiringi Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Hari Pahlawan disambut setiap tahun pada 31 Julai bagi menghargai khidmat dan pengorbanan pasukan keselamatan negara dalam mempertahankan keamanan serta kedaulatan tanah air.
































