Chang Lih Kang
KUALA LUMPUR: Malaysia sedang merangka undang-undang tenaga atom sebagai usaha mewujudkan asas perundangan bagi pembangunan tenaga nuklear.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, langkah tersebut selaras dengan piawaian keselamatan dan ketidakproliferasian antarabangsa.
Kataya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berharap dapat membentangkan rang undang-undang itu dalam sidang Parlimen kali ini selepas mendapat kelulusan Kabinet.
“Kementerian kini dalam proses merangka undang-undang tersebut dan sekiranya mendapat kelulusan Kabinet, kami akan membentangkannya di Parlimen pada sesi ini,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Amzad Hashim (PN–Kuala Terengganu) mengenai kesiapsiagaan Malaysia untuk meratifikasi protokol utama Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan sama ada negara berisiko ketinggalan dalam pembangunan reaktor modular kecil (SMR).
Lih Kang berkata, penggunaan teknologi nuklear di Malaysia akan tertakluk kepada perjanjian antarabangsa, konvensyen dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurutnya, projek pengekstrakan torium telah dilaksanakan di peringkat makmal dengan hasil memberangsangkan, namun penyelidikan penjanaan elektrik menggunakan torium masih belum bermula.
“Dengan kerjasama negara-negara yang mempunyai kepakaran seperti China, Rusia, India dan Amerika Syarikat, saya yakin projek ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan Malaysia tidak akan jauh ketinggalan berbanding rakan-rakan di rantau ini,” katanya.




























