Khairul Firdaus Akbar Khan
KUALA LUMPUR: Semua unit penginapan sewaan jangka pendek (STRA) perlu mendapatkan lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan sebelum boleh didaftarkan sebagai penginapan pelancong.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, pihaknya dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mencapai kata sepakat bahawa semua unit STRA perlu mendapatkan lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan sebelum boleh didaftarkan sebagai penginapan pelancong di bawah kementerian.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya akan membentangkan pindaan Akta Industri Pelancongan 1992 merangkumi rangka kerja baharu STRA yang dijadual di Parlimen hujung tahun ini atau awal depan.
Katanya, semakan terhadap akta berkenaan telah melibatkan 54 sesi libat urus bersama hampir 1,000 peserta termasuk kementerian, agensi, NGO dan pemain industri di seluruh negara.
“Pindaan ini akan merangkumi pelesenan, perlindungan insurans, penguatkuasaan, pendaftaran platform digital serta penubuhan tribunal pelancongan,” katanya ketika sesi jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau mengakui pengusaha inap desa di luar bandar mungkin berdepan cabaran, namun Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sedang memperkukuh sektor itu melalui insentif lebih berkesan agar mereka mampu menjana pendapatan mampan.




























