Tangkap layar memaparkan anggota PGA semasa melakukan serbuan di SJR Chabang Empat Salam, Rantau Panjang, Kelantan.
RANTAU PANJANG: Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) mengesahkan video rakaman papan pemuka sebuah kenderaan yang tular dalam media sosial semalam memaparkan kejayaan pihaknya membanteras penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Menurut Utusan Malaysia, Komandernya, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, serbuan itu dilakukan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Batalion 7 di sekatan jalan raya (SJR) Chabang Empat Salam, dekat sini.
Katanya, dalam serbuan itu, PGA menahan lima PATI termasuk seorang kanak-kanak warganegara Myanmar.
“Selain itu, kita menahan lelaki tempatan yang bertindak sebagai tekong darat.
“Soal siasat awal mendapati suspek mengaku menerima upah sebanyak RM300 untuk setiap penghantaran PATI tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nik Ros Azhan berkata, semua PATI itu dalam perjalanan ke Stesen Bas Tasik Raja sebelum ke destinasi selanjutnya.
Katanya, saringan air kencing mendapati tekong darat itu positif dadah jenis methamphetamine dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Terdahulu, seorang pengguna laman sosial facebook memuatnaik rakaman tersebut yang dikongsi oleh 1,000 orang dan ditonton seramai 636,000.

































