PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti segala isu melibatkan kelemahan tatakelola dan potensi salah laku dalam agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025 dibentangkan di Parlimen baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, SPRM berkata, pihaknya sentiasa menyokong pendedahan Ketua Audit Negara serta akan menjalankan penelitian secara menyeluruh terhadap laporan berkenaan.
Katanya, ia termasuk mengambil tindakan susulan terhadap sebarang isu yang disyaki mempunyai unsur kesalahan jenayah di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan bukan hanya terhad kepada isu tatakelola semata-mata.
“Sehubungan itu, SPRM akan berhubung dan bekerjasama rapat dengan Jabatan Audit Negara (JAN) bagi mendapatkan maklumat serta dokumen sokongan yang berkaitan untuk tujuan siasatan
serta tindakan lanjut dengan kadar segera,” kata SPRM dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, SPRM sentiasa komited dalam memastikan setiap dakwaan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah ditangani secara tegas serta telus.
“Ini demi memastikan tadbir urus negara berada pada tahap tertinggi seterusnya mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi awam,” jelasnya.




























