JOHOR BAHRU: Seorang pemandu teksi berstatus orang kurang upaya (OKU) parah selepas ditikam pada bahagian perut dan paha kiri serta dikelar di pergelangan tangan kiri oleh seorang lelaki warga asing di kawasan asrama pekerja di Jalan Maju 1, Desa Cemerlang, Ahad.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, mangsa, Mohd. Zulkefli Mydin, 40, mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI).
Isteri mangsa, Syakilla Sulaiman, 32, berkata, suaminya sedang menunggu penumpang di pondok teksi di Jalan Kenanga, Desa Cemerlang sebelum didatangi oleh beberapa warga asing dipercayai dalam keadaan mabuk.
“Mereka kelihatan tidak dapat membuat keputusan sama ada mahu menggunakan perkhidmatan teksi atau tidak dan mangsa menasihati mereka agar tidak mengganggu jika tidak mahu menaiki teksi.
“Berlaku sedikit pertengkaran mulut antara mangsa dan warga asing tersebut sebelum mereka berlalu dari pondok teksi itu. Tidak lama selepas itu, suami menghantar penumpang ke sebuah asrama pekerja di Jalan Maju 1 dan berjumpa semula dengan lelaki warga Myanmar yang membuat kacau sebelum itu,” katanya ketika ditemui, di sini kelmarin.
Salah seorang daripada warga asing tersebut memanggil mangsa dengan nada provokatif dan apabila mangsa menghampiri, dia diserang secara tiba-tiba menggunakan pisau.
“Kecederaan yang dialami amat serius dan menyebabkannya kehilangan banyak darah. Seorang rakan mangsa yang juga pemandu teksi yang berada berhampiran ketika kejadian cuba membantu namun turut diserang dan ditikam pada bahagian perut, punggung dan di kelar bahagian dada,” katanya.
Suri rumah berkenaan memberitahu, suaminya terpaksa menjalani pembedahan lebih 10 jam akibat kecederaan dialaminya dan berkemungkinan besar akan mengalami hilang upaya kekal.
“Suami merupakan seorang pemegang kad OKU disebabkan kecederaan kekal yang dialami pada kaki kanan sejak 14 tahun lalu. dia tetap berusaha menyara keluarga dengan bekerja sebagai pemandu teksi,” katanya.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya telah menahan tiga suspek warga asing di asrama pekerja di Desa Cemerlang.
“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

































