PAPAR: Sebanyak 16 projek pembangunan fizikal berjaya disiapkan di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI (KAM) yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Mukim Kaiduan, di sini.
Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI berlangsung hari ini di Sekolah Kebangsaan (SK) Kaiduan, sekali gus menandakan kejayaan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan yang membawa impak langsung kepada kehidupan masyarakat setempat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, program tersebut merupakan antara pendekatan baharu Kerajaan Persekutuan yang mula dilaksanakan pada 2024 bertujuan merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
Beliau berkata, pelaksanaan program ini bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan infrastruktur, tetapi turut melibatkan pengisian bukan fizikal seperti sesi libat urus bersama komuniti untuk memahami isu dan keperluan mereka, serta penyediaan perkhidmatan bergerak daripada pelbagai agensi kerajaan.
Bagi pelaksanaan tahun pertama program, setiap kementerian telah ditetapkan untuk memilih sebuah kampung sebagai kampung angkat masing-masing. Sebanyak RM107 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan program ini di 43 kampung terpilih di seluruh negara, dengan peruntukan RM2.5 juta bagi setiap kementerian atau agensi.
Mukim Kaiduan di Papar telah dipilih sebagai kampung angkat MADANI bagi KPDN berdasarkan beberapa kriteria, termasuk tahap kemudahan asas yang masih rendah, iaitu kurang daripada 50 peratus. Pelancaran rasmi program ini di kawasan tersebut telah diadakan pada 24 Mei 2024.
Menurut Armizan, pelaksanaan program menyaksikan kerjasama erat antara pelbagai pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan projek-projek yang dirancang.
Sebanyak 16 projek fizikal telah siap sepenuhnya dan kini dimanfaatkan penduduk.
Antara projek tersebut ialah kerja-kerja membaik pulih jalan culvert, pembinaan jambatan baharu dan naik taraf jalan di Kampung Kaiduan; pembinaan jambatan Low Level Crossing (LLC) di Kampung Ulu Kaiduan; naik taraf jalan di Kampung Bisuang; serta pembinaan jambatan gantung ke SK Kaiduan.
Turut dilaksanakan ialah pembinaan surau baharu dan dewan serbaguna di SK Kaiduan; naik taraf gereja, balai raya dan pembinaan gelanggang sepak takraw di Kampung Bolotikon; membaik pulih jambatan gantung, pembinaan laluan pejalan kaki berbukit dan penaburan batu kasaran (crusher run) di jalan utama Kampung Moliyoun; serta pemasangan lampu solar di Kampung Kaiduan, Kampung Bisuang dan Kampung Bolotikon.
Beliau berkata, projek-projek ini diyakini akan meningkatkan kualiti hidup penduduk melalui kemudahan infrastruktur asas yang lebih selesa dan selamat, sekali gus merangsang aktiviti sosioekonomi setempat.
Armizan turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan Malaysia, Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO), Pejabat Daerah Papar serta pemimpin dan masyarakat Mukim Kaiduan atas komitmen dan sokongan dalam menjayakan inisiatif ini.
KPDN berharap kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan menyeru agar penyelenggaraan serta penambahbaikan berterusan dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan pembangunan yang lestari.


































