KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di sini pada Oktober hadapan.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu diberitahu Setiausaha Negara AS, Marco Rubio selepas ditanya mengenai kehadiran Trump ke sidang tersebut.
“Ya, itu berkemungkinan,” katanya ringkas kepada pemberita selepas Mesyuarat Tiga Hala antara AS, Jepun dan Filipina di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, kelmarin.
Rubio turut memaklumkan pentadbiran AS sedang berbincang untuk menetapkan tarikh rasmi bagi Sidang Kemuncak ASEAN-AS susulan cadangan yang dikemukakan oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur Oktober ini dijangka menjadi antara yang terbesar dalam sejarah penganjuran kumpulan serantau itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, beberapa ketua kerajaan dari luar ASEAN telah mengesahkan kehadiran mereka ke sidang berkenaan yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober nanti.
Antara pemimpinnya Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni yang ditemui Anwar di Rom pada 3 Julai dan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva.
































