Redonah menyampaikan hadiah kepada Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1447H / 2025M Daerah Kota Marudu, Ustaz Pakar Kassam.
KOTA MARUDU: Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memperkasa syiar Islam dengan memperkukuh institusi masjid serta mempererat perpaduan rakyat, khususnya umat Islam di Sabah.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda berkata, Islam bukan sekadar agama yang diwarisi, tetapi satu amanah yang perlu dihayati, dipertahankan dan dikembangkan oleh semua pihak.
“Kerajaan negeri sentiasa menyokong pelaksanaan program berbentuk pendidikan, dakwah, pembangunan sahsiah dan pengukuhan jati diri umat Islam.
“Masjid pula bukan hanya tempat bersolat, tetapi seharusnya menjadi pusat ilmu, medan perpaduan dan benteng rohani masyarakat,” katanya semasa merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Kota Marudu di Masjid At-Taqwa, di sini hari ini.
Redonah berkata, Kerajaan Negeri percaya bahawa apabila umat Islam kukuh dalam ilmu, perpaduan dan akhlak, maka negeri dan negara juga akan menjadi lebih stabil, kuat dan diberkati.
“Saya menyeru seluruh masyarakat Islam di Kota Marudu, khususnya golongan belia, wanita dan pendidik agar terus berganding bahu memanfaatkan majlis ilmu seperti ini dan menjadikannya sebagai obor yang menerangi perjalanan hijrah kita ke arah kebaikan yang lebih besar.
“Hijrah bukan sekadar perpindahan fizikal, tetapi simbol kekuatan spiritual, pengorbanan dan transformasi diri yang berterusan,” katanya.
Tambah beliau, semangat hijrah wajar dijadikan inspirasi untuk memperbaiki diri, menyatukan hati dan memperkukuh ukhuwah dalam menghadapi cabaran semasa.
Beliau turut menyuarakan harapan agar Mahrajan Maal Hijrah ini dapat menyuburkan lagi budaya ilmu di daerah berkenaan dan menjadi cahaya penerang buat masyarakat Islam di Kota Marudu.
“Majlis seperti ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi harus menjadi pemangkin kepada lahirnya masyarakat berilmu, berakhlak dan berwawasan,” katanya.


































