Hendrus Anding
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan terus komited meningkatkan produktiviti serta kualiti hasil pertanian negeri ini menerusi pelbagai pendekatan moden dan bersasar, termasuk latihan, insentif, pemodenan teknologi dan penglibatan masyarakat luar bandar secara meluas.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Hendrus Anding berkata, kementerian melalui Jabatan Pertanian (DOA) Sabah telah melaksanakan pelbagai kaedah termasuk Inisiatif Pembangunan Kapasiti dan Latihan Petani.
“Latihan teknikal berterusan meliputi Amalan Pertanian Baik (APB), pemindahan teknologi moden serta Kursus Transformasi Teknologi Pertanian disediakan, selain bimbingan langsung pegawai pengembangan di daerah bagi memastikan petani dapat mengurus ladang mereka secara mampan,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Rubin Balang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Hendrus berkata, Kerajaan turut menyediakan Pemberian Insentif Pembangunan Tanaman Makanan merangkumi subsidi pembajakan sawah, bahan tanaman berkualiti, input pertanian, sistem pengairan, stor dan pusat pengumpulan hasil.
“Insentif ini mengurangkan beban kos kepada petani dan sekaligus meningkatkan kecekapan pengeluaran,” katanya.
Tambah beliau, bagi sektor tanaman padi, pelbagai usaha dilakukan termasuk pembangunan Sawah Satelit Benih Padi Sah melalui Program Skim Pengeluaran Benih Padi Bermutu (HYV) yang mampu menghasilkan sehingga 10 metrik tan sehektar.
“Program ini disokong tiga Pusat Pengeluaran Benih Padi di Papar, Tenom dan Kota Belud. Kita juga galakkan penanaman dua musim setahun melalui penggunaan teknologi Rice Check dan Centralized Management Farming System (CMFS),” katanya.
DOA turut melaksanakan Projek Pemulihan Tanah Sawah Terbiar melibatkan 7,392 hektar secara berperingkat, dan sebanyak 437.57 hektar telah dipulihkan pada 2024 di tiga daerah utama, katanya.
“Kerajaan juga sedang merangka pewartaan tanah sawah di bawah Ordinan Pengairan dan Saliran serta Ordinan Tanah Sabah bagi memastikan kelestarian sektor tanaman padi negeri ini,” jelas beliau.
Dalam aspek penyelidikan, Hendrus berkata, Makmal Biologi Molekul di Pusat Penyelidikan Pertanian Tuaran telah ditubuhkan bagi mempertingkat keupayaan bioteknologi termasuk pembangunan varieti tahan penyakit dan cabaran persekitaran.
“Sebanyak 10 varieti baharu telah dihasilkan dalam RMK-12 termasuk Durian Babagon, Jagung Pulut Ungu Manis, Durian Merah QDG1, Kopi Catimor LSC1, Nangka QJF1 dan Tuhau LSTu1,” katanya.
Beliau turut memaklumkan penerapan teknologi moden seperti jentera, dron dan Internet of Things (IoT) diperluas untuk mengatasi kekurangan buruh dan meningkatkan kecekapan ladang.
Dalam aspek kualiti, katanya, sebanyak 578 ladang melibatkan 3,132.18 hektar telah menerima pensijilan myGAP dan 34 ladang melibatkan 453.1 hektar diberi pensijilan myOrganic sehingga Mei 2025.
“DOA juga melaksanakan Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) yang mengiktiraf 59 ladang dan sembilan nurseri bahan tanaman bagi memastikan hasil berkualiti dan tulen,” katanya.
Menurut beliau, kementerian turut melancarkan Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar (RAER) Peringkat Negeri pada 28 April lalu di Tambunan untuk memperluas keterlibatan masyarakat dalam bidang pertanian.
“Melalui Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), kita akan tingkatkan produktiviti tanaman padi di enam daerah utama – Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran, Tambunan, Keningau dan Papar,” katanya.
Hendrus berkata, LPBS telah mengenal pasti 300 ekar kawasan sawah di Kg. Solibog, Tambunan sebagai projek perintis tanaman padi hasil tinggi (HYV) menggunakan automasi, mekanisasi sepenuhnya dan pengurusan air berjadual.
“Keseluruhan inisiatif ini menandakan kesungguhan kerajaan Sabah memastikan sektor pertanian kekal berdaya saing dan menyumbang kepada keterjaminan makanan negeri,” katanya.


































