Dr. Joachim (tengah) merakamkan gambar kenangan dengan Ketua-ketua Bahagian dan AJK PBS Zon 5 Sandakan dalam majlis itu.
SANDAKAN: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam mengadakan pertemuan bersama Ketua-ketua Bahagian dan Ahli Jawatankuasa (AJK) PBS Zon 5 Sandakan melibatkan sembilan bahagian iaitu Tanjung Papat, Karamunting, Sekong, Elopura, Sungai Sibuga, Sungai Manila, Gum-Gum, Lamag dan Sukau.
Pertemuan yang diadakan di Citi Club Sandakan, di sini kelmarin adalah sebagai usaha memberi dorongan, nasihat dan penjelasan tentang halatuju parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
“Yang paling penting, kita perlu kekal dalam PBS, kuatkan parti dan terus memperkasakan gerak kerja, termasuk menambah keahlian,” tegas Dr. Joachim dalam ucapannya.
“Prinsip kita sekarang ialah bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan kita akan membantu sesiapa sahaja calon yang ditetapkan,” katanya.

Dr. Joachim ketika memberikan ucapannya.
Menurut beliau, perbincangan dalaman GRS sedang berjalan dan keyakinan tinggi diletakkan terhadap kemampuan gabungan itu untuk terus menerajui kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau turut mengingatkan jentera parti supaya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam PRN akan datang.

Nelson Sikin
“Kita teruskan perjuangan. Secara berhemah dan berstrategi, kita pasti mampu memenangi perlumbaan ini jika kita semua bersatu,” katanya lagi.
Dalam majlis yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Penganjur, Nelson Sikin yang merupakan Timbalan Ketua Bahagian PBS Tanjung Papat bersama AJK yang menjadi tuan rumah kepada majlis makan malam tersebut serta pengacara majlis yang juga Setiausaha PBS Bahagian Sekong, Ahmad Awang.

Dr. Joachim merakamkan gambar kenangan dengan AJK PBS yang hadir.
Sementara itu, Nelson menegaskan bahawa seluruh kepimpinan PBS di Sandakan akan terus berdiri teguh di belakang Presiden parti dan kepimpinan sedia ada.
“Kami sentiasa bersama parti, bukan hanya dalam waktu senang, tetapi juga ketika berdepan cabaran besar menjelang PRN ke-17 ini. Kami menyokong penuh prinsip PBS dalam GRS dan bersatu hati menolak sebarang pengaruh atau ideologi yang cuba dibawa oleh pihak pembangkang,” katanya.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Naib Presiden PBS, Datuk Dr. Christoper Mandut; Ahli Majlis Tertinggi yang juga Ketua Bahagian PBS Sungai Sibuga, Kasirin Kamiran; dan Exco Wanita PBS merangkap Ketua Bahagian PBS Sungai Manila, Sariah Madulin.


































