PETALING JAYA: Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan seorang anggota Grup Gerak Khas (GGK) dari Rejimen 22 Komando, Koperal Mohd. Haswansir Julnasir terkorban semasa menyertai Latihan Seaghost Siri 1/2025 di perairan Kuantan, Pahang.
Menurut Utusan Malaysia, TDM dalam kenyataan berkata, Allahyarham Mohd. Haswansir, 30, dilaporkan hilang pada 3 Julai lalu sekitar pukul 12.15 tengah hari ketika melaksanakan latihan selam menggunakan Closed Circuit Breathing Apparatus (CCBA) di perairan Dock Port, Kuantan.
Susulan laporan itu, katanya, TDM mengaktifkan Operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta-merta.
“Hasil kerjasama bersepadu, jenazah Allahyarham telah ditemukan oleh pasukan rondaan permukaan dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 5 Julai, lebih kurang pukul 10 pagi dengan lokasi penemuan pada jarak anggaran 500 meter dari tempat kejadian.
“Semua peralatan termasuk kelengkapan selaman CCBA dan senjata M4 ditemui lengkap bersama mangsa,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu, jenazah Allahyarham dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk proses bedah siasat.
“Pihak TDM telah menguruskan penghantaran pulang jenazah ke kampung halamannya di Semporna, Sabah menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) C130 dari Pangkalan Udara Kuantan ke Tawau pada pukul 7.30 malam, semalam.
“Allahyarham telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Gusung Melanta Tesi, Pulau Bum Bum, Semporna pada pukul 2.30 pagi tadi,” katanya.
Pada masa sama, TDM akan menubuhkan satu Lembaga Siasatan untuk menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar insiden.
“TDM juga menyeru agar semua pihak tidak menyebarkan sebarang spekulasi dan menghormati privasi keluarga Allahyarham dalam menghadapi waktu yang sukar ini,” katanya.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan seluruh warga TDM menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta turut berduka cita atas kehilangan seorang warganya yang sangat terlatih.


































