PETALING JAYA: Komposer yang juga gitaris sebuah kumpulan muzik ditahan polis semalam selepas dipercayai memukul seorang lelaki.
Menurut Utusan Malaysia, kejadian difahamkan berpunca kerana perselisihan faham berkaitan pintu bilik air di sebuah rumah yang disewa mereka di Pandan Indah dekat sini semalam.
Menurut sumber, kejadian berlaku pada 30 Jun lalu apabila mangsa berusia 50-an yang sedang tidur di bilik sewa rumah itu kira-kira pukul 6.30 pagi dan terdengar bunyi bising pintu bilik air dihempas.
“Mangsa yang tidak berpuas hati keluar dan menghempas semula pintu itu menyebabkan komposer berusia 46 tahun itu yang menyewa di bilik sebelah mangsa keluar semula.
“Mangsa kemudian diserang oleh suspek dengan pemegang gitar.
“Akibat kejadian itu mangsa yang bekerja sebagai tukang masak cedera di lengan dan mendapatkan rawatan di Hospital Ampang sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, polis bertindak menahan suspek semalam.


































