Hajiji mempengerusikan Mesyuarat Pasca Kabinet Jabatan Ketua Menteri.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, berharap penjawat awam terus menegakkan prinsip profesionalisme, berkecuali dan integriti dalam melaksanakan tugas sepanjang tahun pilihan raya ini.
“Kita bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri tahun ini. Sebagai tulang belakang pentadbiran Kerajaan Negeri, penjawat awam mesti memastikan semua urusan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terganggu dan terus berjalan lancar seperti biasa.
“Kecekapan dan ketelusan penjawat awam dalam menghadapi tempoh yang mencabar ini akan mencerminkan komitmen kita untuk terus menyokong sistem demokrasi dan kestabilan pentadbiran negeri,” katanya.
Berucap dalam Mesyuarat Pasca Kabinet Jabatan Ketua Menteri di Menara Kinabalu hari ini, Hajiji turut menggesa semua ketua jabatan menunjukkan komitmen tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Katanya, mereka perlu melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan tepat, serta memantau projek secara lebih berkesan bagi memastikan semua projek yang diluluskan dapat disiapkan mengikut jadual.
“Ini penting bagi mengelakkan kelewatan pelaksanaan, pembaziran sumber, serta menjejaskan reputasi dan kepercayaan rakyat terhadap keupayaan jentera pentadbiran kerajaan,” katanya.
Ketua Menteri turut mengingatkan semua penjawat awam supaya sentiasa responsif, proaktif dan mengamalkan tadbir urus yang baik dalam melaksanakan tugas demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Penjawat awam perlu melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab, ketelusan dan akauntabiliti yang tinggi. Mereka juga perlu mengelakkan sebarang konflik kepentingan supaya matlamat dan objektif Kerajaan Negeri dapat dicapai dengan jayanya.
“Kepentingan kerajaan harus sentiasa diutamakan berbanding kepentingan peribadi,” ujarnya.
Hajiji turut mengingatkan penjawat awam supaya sentiasa memelihara integriti peribadi dan menjadikannya sebagai nilai teras dalam pembentukan sahsiah diri.
“Tanpa integriti peribadi yang tinggi, kesannya terhadap imej penjawat awam dan keseluruhan institusi Kerajaan Negeri akan menjadi sangat buruk,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Hajiji memaklumkan bahawa empat rang undang-undang akan dibentangkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri selama dua hari yang akan bermula Isnin depan.
Jabatan Ketua Menteri akan membentangkan dua rang undang-undang iaitu Rang Undang-Undang Perhutanan (Pindaan 2025) dan Rang Undang-Undang Tadbir Urus Iklim dan Karbon 2025.
Dua lagi rang undang-undang akan dibentangkan oleh Kementerian Kewangan iaitu Rang Undang-Undang Cukai Jualan Negeri (Pindaan 2025) dan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2025.
































