Tun Musa diiringi oleh Hajiji dan kenamaan lain memotong pulut kuning pada Majlis Tahlil, Doa Selamat dan Solat Hajat sempena sambutan ulang tahun kelahiran rasmi beliau yang ke-74 di Masjid Negeri, Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri, Tun (Dr) Musa Aman berkenan menghadiri Majlis Tahlil, Doa Selamat dan Solat Hajat sempena sambutan ulang tahun kelahiran rasmi beliau yang ke-74 di Masjid Negeri hari ini.
Majlis penuh berkat itu turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor sebagai tanda penghormatan dan doa bersama untuk kesejahteraan Tun
Musa dan kemakmuran negeri Sabah.
Majlis yang diadakan saban tahun ini bertujuan memohon keberkatan, kesejahteraan dan perlindungan Allah SWT kepada Yang di-Pertua Negeri dalam memimpin negeri serta mendoakan kemakmuran berterusan bagi rakyat Sabah secara keseluruhannya.
Tun Musa tiba di perkarangan Masjid Negeri kira-kira jam 6.15 petang diiringi isteri, Toh Puan Faridah Tussin dan disambut oleh para pemimpin negeri serta para jemputan kehormat yang hadir.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Kadzim M. Yahya, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Haji Safar Untong, Pembantu-pembantu Menteri dan ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah disusuli Solat Sunat Hajat, sebelum diteruskan dengan bacaan Surah Yassin, Tahlil dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negeri, Ustaz Suhaidi Kuanting dan Mufti Kerajaan Negeri, SS Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.
Solat Isyak berjemaah dilangsungkan kira-kira jam 7.48 malam sebelum para tetamu dijamu dengan hidangan malam yang disediakan khas bagi meraikan keberangkatan TYT.


































