Muammar Ghadafi
TAMPARULI : Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tamparuli, Muammar Ghadafi menegaskan bahawa kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 hanya akan diterima rakyat jika GRS menjadi parti dominan dalam gabungan tersebut.
Menurut beliau, GRS wajar bertanding sekurang-kurangnya 53 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Katanya, ini penting, bagi memastikan suara rakyat Sabah terus kuat dan tidak dipinggirkan selepas pilihan raya.
“Sebagai parti tempatan, GRS lebih memahami denyut nadi serta aspirasi rakyat Sabah.
Jika GRS memimpin kerajaan negeri dengan jumlah kerusi terbesar, campur tangan parti luar dalam pentadbiran dapat dielakkan,” kata Muammar dalam kenyataan, mengulas kenyataan Pengerusi GRS, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mahu mempertahankan kerjasama PH pada PRN17 Sabah.
Muammar turut menekankan kepentingan GRS yang kuat dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya tuntutan pengembalian 40 peratus hasil cukai yang dikutip di Sabah.
“Sejak tahun 1972, tuntutan hasil 40 peratus masih belum dikembalikan oleh kerajaan Persekutuan.
“Hanya GRS yang dominan boleh memperjuangkan perkara ini secara konsisten tanpa diganggu kepentingan politik luar,” tambah beliau.
Beliau juga percaya bahawa kestabilan politik negeri hanya dapat dicapai sekiranya GRS mengetuai pentadbiran negeri.
Tambahnya, ini sekaligus mengelakkan insiden lompat parti, pergolakan dalaman gabungan, dan kelemahan dalam sistem pentadbiran.
“Kerjasama GRS dan PH bukanlah satu bentuk penyerahan kuasa, sebaliknya strategi untuk membina kerajaan yang stabil, adil dan berimpak tinggi.
Namun GRS mesti kekal sebagai penentu dasar negeri bagi menjamin hak dan suara rakyat Sabah tidak terabai,” katanya lagi.
Muammar menyeru rakyat Sabah agar menyokong kerjasama GRS dan PH jika dan hanya jika GRS menjadi tunjang utama dalam kerajaan negeri demi masa depan Sabah yang lebih stabil, makmur dan berdaulat.


































