Dr. Joachim (meja tengah, duduk) bergambar dengan semua tetamu dan peserta Highland Safari 2025 di Pentas Terbuka Kundasang.
KUNDASANG: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, merasmikan acara Highland Safari 2025 yang berlangsung di Pentas Terbuka, Kundasang, di sini malam tadi.
Acara anjuran edisi kedua itu menyaksikan penyertaan sebanyak 160 buah kenderaan pacuan empat roda dan 60 buah motosikal lasak. Program selama tiga hari bermula 19 April lalu itu membawa peserta merentasi laluan mencabar dari Pekan Kundasang ke Bambangan, Lipasu, Mamut dan berakhir di Sinar, Kundasang.

Dr. Joachim (kiri) menerima cendera mata daripada Samsul.
Dr. Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berkata, program seumpama ini mampu memperkukuh lagi sektor pelancongan tempatan, khususnya di kawasan Kundasang dan Ranau.
“Penganjuran ini bukan sahaja menjadi platform pertandingan, malah turut mempromosikan kawasan pelancongan di Kundasang yang sedia terkenal dengan pelbagai acara seperti Pesta Kobis dan acara larian,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, diketuai Samsul Sinun, atas usaha menjayakan program tersebut dengan sokongan pelbagai pihak termasuk penaja, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.
Menurut beliau, keadaan cuaca sejuk di Kundasang yang boleh mencecah 9 darjah Celsius dengan tiupan angin dan hujan, menjadikan kawasan itu sebagai destinasi unik dan menarik kepada pelancong dalam dan luar negara.

Dr. Joachim (tiga dari kiri) bergambar kenangan dengan pemenang Highland Safari 2025.
Dalam pada itu, Dr. Joachim turut mengucapkan tahniah kepada semua pemenang pertandingan serta menyampaikan penghargaan kepada Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam, yang turut sama mempengerusikan acara di peringkat daerah.
Beliau juga menyampaikan penghargaan kepada agensi-agensi yang terlibat seperti Klinik Kesihatan, pasukan perubatan, Taman-Taman Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bahagian Ranau, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) atas kerjasama dan komitmen dalam menjayakan program tersebut.
“Sekiranya rakyat terus memberikan mandat kepada kerajaan sedia ada, saya akan terus memberikan sokongan penuh terhadap penganjuran Highland Safari ini untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Samsul Sinun turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Dr. Joachim atas sokongan dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk penasihat program, Simon Leong Ken Hiung, serta Kementerian Belia dan Sukan atas jalinan kerjasama yang erat.
Majlis tersebut turut dihadiri Pegawai Daerah Tongod, Yuesri Ismail Yusof yang merupakan anak kelahiran Kundasang, serta presiden-presiden persatuan pacuan empat roda dari seluruh Sabah.


































