BANGKOK: Thailand bercadang untuk mengurangkan separuh tempoh tinggal pelancong asing tanpa visa kepada 30 hari ketika negara itu memperketat kawalan terhadap pelancong yang mengeksploitasi pengecualian untuk terlibat perniagaan haram.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pelancongan dan Sukan, Sorawong Thienthong berkata, pengurangan kepada 30 hari dipersetujui secara prinsip oleh pelbagai kementerian.
Sejak Julai 2024, Thailand membenarkan pemegang pasport dari 93 negara memasuki negara itu untuk tujuan pelancongan bagi tempoh tidak melebihi 60 hari.
Persatuan Ejen Pelancongan Thailand menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan jumlah warga asing yang bekerja atau menjalankan perniagaan secara haram di negara itu.
Manakala, Persatuan Hotel Thailand menyatakan tempoh pengecualian visa yang panjang mungkin menjadi salah satu punca peningkatan unit kondominium yang disewakan secara haram kepada pelancong asing, lapor Bangkok Post.
Pelancongan kekal sebagai pemacu utama ekonomi Thailand, menjadikannya ekonomi kedua terbesar di rantau itu.
Kerajaan menyasarkan ketibaan pelancong asing melebihi 40 juta orang tahun ini, sekali gus memecahkan rekod yang dicatatkan pada 2019.
Antara Januari hingga 9 Mac, Thailand menerima 7.66 juta pelancong asing, meningkat 4.4 peratus berbanding tahun sebelumnya, lapor Bloomberg.




























