PETALING JAYA: Sebanyak 11 akaun bank bernilai RM100,000 dibekukan dan 30 dokumen disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Ops Outlander berkaitan sindiket pendaftaran lewat kelahiran dengan memproses dokumen bagi tujuan permohonan sijil kelahiran sebaik menerima wang daripada pemohon.
Menurut Utusan Malaysia, sumber memberitahu, sindiket ini melibatkan penjawat awam sebuah agensi kerajaan yang dipercayai menerima sogokan antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap permohonan sijil kelahiran yang diproses secara tidak sah.
“Sindiket ini membantu pendaftaran lewat kelahiran bagi bayi yang berusia lebih 60 hari selepas kelahiran dan dokumen tersebut dikeluarkan setelah bayaran diterima daripada pemohon,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Siasatan turut mendapati seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri yang memiliki beberapa klinik dan pusat bersalin dipercayai terlibat dalam mengeluarkan dokumen pengesahan kelahiran palsu untuk menyokong permohonan tidak sah.
Dalam operasi serentak sebelum ini, 16 individu termasuk doktor dan penjawat awam telah ditahan menerusi Ops Outlander dan Ops Birth, dengan serbuan dilakukan di beberapa klinik serta firma guaman di Lembah Klang dan Johor.
Media sebelum ini melaporkan pengamal perubatan bergelar Datuk Seri antara 16 individu ditahan SPRM kerana disyaki terbabit rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dilaporkan berkata, SPRM melancarkan Op Outlander dan Op Birth, membabitkan serbuan ke atas beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman sekitar Lembah Klang dan Johor.
Menurutnya, bagi Op Outlander, suspek utama adalah penjawat awam dan dia disyaki melakukan perbuatan itu dengan membantu permohonan sebagai pendaftaran lewat kelahiran iaitu untuk yang melebihi tempoh 60 hari selepas kelahiran.
“Dipercayai, pengamal perubatan bergelar Datuk Seri yang memiliki beberapa klinik dan pusat bersalin berperanan mengeluarkan dokumen pengesahan kelahiran palsu,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula mendedahkan, sindiket ini menggunakan ‘pemaklum kelahiran’ bagi mengemukakan dokumen palsu di kaunter JPN sebelum sijil kelahiran sah dikeluarkan.
Dokumen tersebut kemudian dijual di pasaran gelap kepada ibu bapa atau penjaga yang mahu mendapatkan status warganegara bagi anak-anak mereka.
Sindiket ini juga dikaitkan dengan pemerdagangan kanak-kanak, menjadikan jenayah ini satu ancaman besar kepada keselamatan negara.
































